saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 16/10/2014

Pegawai syariah di luar negara

MASYARAKAT Melayu Islam di Malaysia dewasa ini sudah agak kompleks. Mereka tidak hanya tinggal di dalam negara sahaja tetapi sering ke luar negara atas pelbagai urusan dan perniagaan. Perubahan ini berlaku sejajar dengan perkembangan negara dan kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia.

Malah sesetengah rakyat Malaysia pula bermastautin di luar negara. Ada juga yang melangsungkan perkahwinan di luar negara dan tidak kurang juga yang menghadapi krisis rumah tangga di sana. Sebahagian lain berkahwin dengan rakyat asing dan menetap di dalam negara.

Kedutaan Malaysia di luar negara serta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Konsul sering menjadi tumpuan bagi menyelesaikan permasalahan ini namun pegawai-pegawai yang bertugas di sana bukanlah seorang yang berkelayakan membantu dalam hal ehwal undang-undang syariah. Walaupun ada pegawai agama diteMpatkan di sebahagian kedutaan Malaysia di luar negara, namun pegawai agama ini tidak berkemahiran dalam undang-undang Islam, kehakiman dan mahkamah syariah. Mereka juga tidak didedahkan sepenuhnya dengan tatacara di mahkamah syariah.

Dalam hal yang demikian, suatu kajian sebenarnya telah dilakukan bagi mengkaji pewujudan fungsi mahkamah syariah di Kedutaan, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Konsul Malaysia di luar negara. Buat masa ini tidak terdapat peruntukan undang-undang yang jelas bagi menyokong saranan ini walaupun keperluannya sudah dapat dilihat. Oleh itu, beberapa peruntukan undang-undang harus dipinda bagi membolehkan pengiktirafan dibuat ke atas saranan ini. Syor mewujudkan fungsi mahkamah syariah di Keduataan Malaysia di luar negara telahpun dibuat bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Pada pandangan saya antara perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh diberikan ialah menyalurkan maklumat mengenai prosedur perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, tuntutan nafkah, pusaka dan hibah. Begitu juga halnya dengan permohonan kebenaran berkahwin di luar negara, wali hakim, aduan rumah tangga dan perkhidmatan mediasi.

Bermastautin

Terdapat banyak kes yang melibatkan rakyat Malaysia yang beragama Islam bermastautin di luar negara, mereka sering menghadapi masalah dan kelewatan kerana keterangan tidak dapat diambil di mahkamah syariah di Malaysia. Untuk mereka pulang ke tanah air semata-mata bagi memberi keterangan mungkin adalah amat tidak praktikal dan melibatkan kos yang tinggi.

Pegawai Syariah yang ditempatkan di Kedutaan Malaysia di luar negara ini dapat membantu hakim dalam mencapai suatu keputusan yang adil dan cepat, mengambil keterangan semasa perbicaraan, menguruskan kes secara sistematik dan menasihati rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di luar negara.

Pegawai Syariah ini juga boleh bertindak sebagai penasihat kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara dalam hal ehwal Islam. Sudah tentu alam persekitaran yang tidak Islamik di luar negara mengundang pelbagai persoalan berhubung dengan kedudukan sebenar undang-undang Islam itu sendiri.

Sebenarnya cadangan ini pernah dibuat oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebelum ini dan kajian telahpun dilakukan. Namun pelaksanaannya masih belum lagi dibuat. Adalah diharapkan dengan adanya Pegawai Syariah di Kedutaan Malaysia di luar negara perjalanan kes di mahkamah syariah dapat disegerakan, di samping menjimatkan kos kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara itu. Mereka tidak perlu berulang alik ke tanah air semata-mata bagi menghadiri perbicaraan di mahkamah.

Bagi merealisasikan saranan ini, Akta Pentadbiran Agama Islam, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah hedaklah dipinda. Ini bagi bertujuan memberi pengiktirafan terhadap siasatan dan perbicaraan yang dijalankan oleh Pegawai Syariah di luar negara.

Namun, kekangan utama mungkin bukan datang daripada sudut undang-undang ataupun pegawai itu sendiri. Masalah yang paling utama ialah kos dan bebanan kewangan yang perlu digalas oleh pihak Kerajaan sekiranya ingin melaksanakan saranan ini.

PENULIS ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.