saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 16/10/2014

Enggan susahkan orang lain

KERETA Proton Wira 1.3 berlogo Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyusuri jalan berturap dan terus menyelinap di lorong yang lebih kecil di sebuah pinggiran hutan di Gombak. Akhirnya kami memasuki jalan bertanah, agak lecak kerana hujan semalamnya deras mengguyuri bumi. Kehijauan alam menyergap pemandangan, dan bunyi-bunyian hidupan hutan menyambut kedatangan kami. Bauan segar aroma alam semula jadi membumbui hidung, lantas mengingatkan saya pada kampung.

“Ada orang tinggal di sini?"

Itulah antara persoalan yang terpacul daripada mulut saya. Menjawab pertanyaan itu, Eksekutif Agihan Zakat LZS, Hafiz Salimun langsung menunjukkan beberapa buah pondok di situ. Ternyata, di sebalik kehijauan dedaunan dan indahnya panorama alam, ada sekelumit manusia yang masih sanggup bercengkarama mendiaminya. Itulah matlamat kami hari itu, menyantuni salah seorang warga emas yang masih setia mendiami pondok uzurnya di pinggir hutan di Wira Damai, Gombak.

“Sewaktu ke sini tidak lama dulu, saya bertanya kepada penduduk setempat jika ada orang yang tinggal di sini. Ternyata, ada. Lalu saya yang datang menemuinya sendiri, bukan atas aduan mana-mana pihak," jelas Hafiz.

Untuk naik ke atas, kami mendaki bukit dengan jalan agak berliku. Hati-hati kami melangkah, kerana jalanan masih basah. Tidak jauh, kami melihat seorang lelaki berusia awal 40-an sedang berdiri di sisi lorong yang sempit. Kucing-kucing kecil dan besar sibuk berkeliaran. Dialah Khairil, jiran kepada Pakcik Omar Saot, 69 yang sangat ingin kami temui hari itu.

Usai memberi salam, seorang lelaki bertubuh agak kurus tetapi masih kelihatan cergas tercegat membuka pintu. Dia menjawab salam dan menerima kedatangan kami seadanya. Rumahnya, jika boleh dianggap rumah, tidak lebih hanyalah sekadar sebuah dangau. Dibina ala kadarnya. Kekukuhannya juga sukar diramal. Saat memasukinya, saya berdoa semoga tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku. Lantainya melendut saat dipijak, risau pula terjerlus ke bawah.

“Saya ini dahulu berkhidmat sebagai tentera dalam Askar Britain (British Army) di Singapura, iaitu dari tahun 1964 hingga 1971. Selepas Singapura merdeka dan Britain menarik kembali askarnya, saya menolak untuk diserap masuk ke dalam pasukan tentera Singapura. Saya sudah jemu menjadi tentera. Lalu saya memilih menjadi orang awam dan terus menetap di Singapura sehingga tahun 1974," ujar Pakcik Omar.

Menurutnya lagi, selama di Singapura dia telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Antara yang paling membekas di jiwanya, dia pernah menjadi tukang cat di limbungan kapal di Jurong.

“Tetapi pakcik tak tahan dengan kerja itu, datangnya tidak tentu waktu. Jika tengah malam kapal masuk dalam limbungan, maka tengah malam jugalah pakcik kena bekerja. Kerja pun kena bergegas, demi mengelakkan air laut pasang semula," tambahnya.

Bertahun-tahun di Singapura, akhirnya Pakcik Omar memutuskan untuk kembali ke Malaysia. Padahal ketika itu, kerajaan Singapura telah pun menawarkan kepadanya untuk mendapatkan kerakyatan di sana. Apatah lagi memandangkan dia adalah mantan tentera British yang pernah berbakti kepada Singapura.

“Pakcik kembali ke Malaysia dan langsung ke Petaling Jaya. Kira-kira 10 tahun menetap di Petaling Jaya, pakcik beralih arah ke Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur sehinggalah 2006. Sepanjang tahun-tahun itu, bermacam-macam jenis pekerjaan telah pakcik lakukan, mengikut kemampuan pakcik. Ada masanya pakcik membantu perniagaan kawan-kawan, pernah bekerja di syarikat ternama, pernah bekerja di kilang besi, berniaga makanan, menjual buah-buahan dan macam-macam lagi."

Demikianlah pergelutan hidup Pakcik Omar di Kuala Lumpur, memang penuh ragam kehidupannya. Namun, sepanjang itulah dia tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Lalu, hingga kini dia masih lagi membujang. Apabila ditanya, adakah dia tidak teringin bekerja di sektor yang lebih baik sepanjang usia mudanya dahulu, Pakcik Omar menjelaskan bahawa dia boleh bekerja di pejabat, tetapi dia tidak menggemarinya.

“Jika hendak diikutkan, pakcik boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris. Apatah lagi pakcik dahulu semasa di Kampar, Perak bersekolah dalam aliran Inggeris sehinggalah menduduki Lower School Certificate (setaraf Sijil Rendah Pelajaran atau SRP). Biar pun pakcik hanya mampu mendapat kelas tiga, namun pakcik juga berkhidmat dalam askar British, maka sudah pastilah pakcik sedikit sebanyak mampu bekerja di pejabat. Namun, dari dulu pakcik memang tidak berminat bekerja di dalam pejabat. Pakcik lebih gemar kerja berat, yang memerah keringat dan bermandi peluh, barulah terasa lebih sihat badan ini," terang Pakcik Omar panjang lebar.

Lalu bagaimanakah dia boleh tercampak ke sebuah kawasan pinggiran hutan seperti hari ini?

“Kisahnya, selepas berpindah dari Jalan Chow Kita, pakcik menumpang orang di sekitar kawasan ini. Itu pun hanya di kabin miliknya. Setelah beberapa lama di situ, si Khairil inilah yang mengundang pakcik untuk tinggal di sini. Dia dan beberapa orang teman-temannya telah mencari kayu dan papan yang terbuang dan membina rumah pakcik. Sejak tahun 2006 itu sehinggalah kini, pakcik masih mampu bertahan di sini," cerita Pakcik Omar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.