saya nak baca ..

AGROBIZ


ARKIB : 11/08/2014

Masih lesu, perlu suntikan semangat

Makanan masih menjadi isu utama dalam subsektor ternakan.

Industri penternakan ruminan negara akan terus menjadi isu kerana masih dianggap lesu. Kebanyakan penglibatannya adalah penternak kecil sedangkan bagi mencetuskan satu persekitaran perniagaan, pemain industri hendaklah berskala besar dan komersial.

Industri ternakan sepatutnya sudah lama menerima suntikan sebagai penggerak kepada anjakan paradigm bagi membawa industri ini kepada lonjakan yang lebih jauh.

Malah, tidak keterlaluan jika dianggap industri ini agak menurun dengan sebahagian komoditinya seperti kambing dan lembu tidak begitu memberangsangkan.

Sedangkan, prospek industri ternakan menerusi Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020), menganggarkan permintaan daging dijangka meningkat daripada 1.4 juta tan pada 2010 kepada 1.8 juta tan pada 2020 dengan pertumbuhan 2.4 peratus setahun .

Pengeluaran daging pula diunjur meningkat daripada 1.6 juta tan metrik pada 2010 kepada 2.1 juta tan pada 2020.

Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, (JPV) dalam industri ternakan yang dominan, kambing jauh ketinggalan dari segi pengeluaran berbanding ayam dan telur.

Sebab itu, sesuatu perlu dilakukan supaya industri ini meningkat. Tanggungjawab tersebut sudah tentulah pada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi JPV.

Industri berkenaan sedang berhadapan dengan beberapa kekangan antaranya ketiadaan padang ragut yang mencukupi, harga makanan ternakan meningkat, masalah penyakit, isu penyembelihan , masalah kekurangan baka dan terbaharu, kebajikan haiwan.

Di bawah Dasar Agro Makanan, antara strategi yang digariskan ialah meningkatkan kecekapan industri ternakan ruminan dengan mentransformasikan usahawan ternakan lembu pedaging dan kambing ke tahap skala kecil dan sederhana serta memantapkan aktiviti perternakan di kawasan tumpuan sasaran, Pusat Fidlot Nasional dan ladang satelit.

Terdapat beberapa strategi lagi yang telah ditetapkan. Semuanya, jika berjaya boleh menjanjikan harapan cerah untuk menjadikan ternakan ruminan berada pada tahap sepatutnya.

Salah satu langkah yang wajar diberi perhatian dalam usaha pembangunan industri tersebut ialah penubuhan Majlis Ruminan Negara (MRN) pada 6 Jun 2012 atas persetujuan Jemaah Menteri. Apakah nasib MRN ketika ini masih wujud atau telah dimansuhkan atau menunggu masa untuk diaktifkan?.

MRN yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani boleh menjadi platform perhubungan dua hala antara penternak ternakan ruminan dengan kerajaan.

MRN juga berperanan sebagai sebuah badan khas bagi merancang, menyelaras dan memantau pembangunan industri ternakan ruminan ini serta memartabatkannya sebagai salah satu industri utama sektor pertanian.

Lebih penting dengan penubuhan MRN ini, golongan penternak ternakan ruminan dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam menentukan hala tuju dan menjayakan pembangunan industri ternakan ruminan negara bagi menjadikan industri ini lebih berdaya maju dan berdaya saing.

Melalui MRN, golongan penternak dapat menyuarakan pandangan dan permasalahan yang dihadapi dalam aktiviti penternakan ternakan ruminan melalui rundingan dengan kerajaan.

Selain itu badan khas ini dapat membantu dalam pertukaran ilmu dan juga teknologi penternakan ruminan antara ahli-ahlinya daripada persatuan penternak dan juga daripada sektor kerajaan .

Persoalannya , adakah MRN boleh berfungsi sebagaimana yang diharapkan seterusnya menjadi penggerak kepada pembangunan industri tersebut?

Mengulas perkara tersebut beberapa pihak yang ditemui agak sangsi sama ada MRN boleh berperanan sebagaimana yang diharapkan.

Seorang pakar ternakan tempatan, Dr. Mohd. Azid Kabul berpendapat keahlian MRN seharusnya tidak terhad kepada wakil persatuan penternak dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Sebaliknya, ia perlu melibatkan melibatkan pemain-pemain industri tulen dan terbukti menyumbang kepada kemajuannya sama ada swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau individu.

“Jika perlu, ahli bersekutu boleh dibawa masuk dari luar negara mengikut keperluan,’’ ujarnya.

Seperkara lagi katanya, bidang kuasa MRN perlu jelas agar kredibilitinya terserlah dan dihormati.

Menurut beliau, ini sangat penting dalam merancang, memantau dan menilai perlaksanaan polisi dan program yang telah dipersetujui.

“MRN perlu mampu untuk ‘menggigit’ bukan setakat ‘menggonggong’ without fear or favour. Ini terutamanya dalam projek mega dan projek berimpak tinggi (HIP)dan lain-lain projek permulaan (EPP).

“MRN perlu berfungsi seperti Majlis Tindakan Negara Majlis Perundingan Ekonomi,'' ujarnya lagi.

Sementara itu menurut seorang lagi wakil industri ternakan, Dr. P. Azhar Zakaria, industri penternakan negara khususnya ruminan sudah lama memerlukan suntikan semangat, idea, perancangan serta perlaksanaan yang boleh menyelamatkannya daripada terus terbiar tanpa hala tuju.

“Ini seolah-olah tidak dipedulikan, terabai dan segala usaha dilaksanakan seperti ‘melepas batuk di tangga'.

“Kita lebih banyak memperkatakan bab kegagalan daripada mencari sebab kenapa ia berlaku dan melaksanakan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan," katanya.

Kerajaan juga katanya, dilihat seolah-olah menjalankan banyak usaha ke arah memantapkan industri tersebut, tetapi usaha tersebut cuma sia-sia, serta memburukkan lagi imej industri ruminan.

Beliau berpendapat kerajaan perlu membantu usahawan tulen, bukan sebaliknya.

Walau apa juga cabarannya, industri ruminan merupakan sebahagian daripada industri pengeluaran makanan yang bukan sahaja perlu dipertahankan, malah perlu diperkasakan demi kestabilan .

Azhar berkata, penubuhan MRN dilihat sebagai satu usaha yang cukup murni, melihat kepada matlamat dan modus operandinya.

Ia jelas pandangan kasarnya, cuma perancangan terperincinya perlu meliputi dan memberi manfaat kepada pengusaha.

“Kita tidak mahu hanya sebahagian pengusaha sahaja mendapat manfaat dan pengusaha yang lain, terutama pengusaha kecil terabai.

“Wakil penternak dalam MRN perlu dipilih dalam kalangan penternak atau pengusaha tulen yang berjaya serta berkaliber agar idea-idea bernas dapat disalurkan mewakili masyarakat usahawan ternak keseluruhannya,'' ujar beliau.

Tugas pertama MRN, katanya, adalah melihat dan mengkaji Dasar Penternakan Negara serta mengenal pasti punca kegagalan beberapa projek berskala besar seperti NFC, Lembah Kaprima, serta meneliti projek-projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan koridor lain.

Kajian tersebut penting agar dasar sedia ada, perancangan dan perlaksanaan dapat digubal bagi membetulkan perkara-perkara yang perlu diperbetulkan.

Pengerusi Persatuan Pembiakbaka Kambing Malaysia, Zainal Abd. Ghani pula berpendapat, struktur berasas kepada persatuan daerah, negeri dan kebangsaan lebih cenderung kepada tadbir urus dan bukan pembangunan.

“Isu yang hendak ditangani ialah dasar, arah tuju, sokongan teknikal dan bukan isu daerah atau negeri.

“Wakil majlis (dalam MRN) terlalu ramai dan pelbagai latar belakang dan boleh menyebabkan percanggahan yang idea terlalu luas dan kata sepakat sukar di capai," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.